Saturday, December 17, 2011

Sambungan Cerpen : Jangan Kau Pergi II


Esok aku akan pulang ke rumah. Keluarga Ika mungkin sudah dalam perjalanan saat ini. Tidak sabar rasanya untuk bertemu dengan mereka. Ummi, walid dan Ika antara insan yang amat ku rindui. Sambil mendengar irama nasyid di corong radio, aku membalut kemas cenderahati yang bakal diserahkan buat sahabat yang dirindui.

“Kenapa muram je ni Sumayyah?” Zulaikha menyentuh lembut bahu ku.

Aku berpaling ke belakang. Senyuman sedaya upaya ku pamerkan. Namun aku pasti dia mengetahui senyuman itu dalam keterpaksaan.

“Masih sedih kerana hendak berpindah?” Zulaikha duduk disebelahku tanpa di pinta. Aku hanya mampu menunduk.

“La tahzan innallaha ma'ana. Insya-Allah, segalanya akan ada hikmahnya. Lagipun bukankah berhijrah itu antara sunah nabi?”

Aku mengangkat wajah. Senyuman ku kini hadir tanpa di pinta. Jelaslah aku mengiyakan kata-katanya. Kepala ku rebahkan di bahunya. Kami memandang alam ciptaan Ilahi. Indah dan damai.

“Maya, ada dengar tak berita mengenai kemalangan jalan raya di ‘highway’ Kuantan?”

Aku tersedar dan kembali ke realiti, “Kemalangan?”

“Ha’ah. Katanya teruk juga.”

Inna lillahi wa inna ilahi raji'un. Ketentuan Allah di luar fikiran akal manusia. Aku tidak bersuara. Menyambung kembali kerja-kerja menyempurnakan hadiah.

Sebentar! Kemalangan? Di lebuhraya Kuantan? Jangan-jangan. Ya Allah!

“Maya, mimpi yang sama masih berlaku ke? Sya tengok Maya selalu bangun tidur mengejut je.”

Aku terus bangun . Telefon bimbit pantas ku cari. Butang dial ditekan. Qalesya pelik dengan kelakuan tiba-tiba yang aku lakukan. Dahinya mengerut. Namun, hanya seketika. Dia kembali menyambung ‘study’nya.

Beberapa kali ku cuba mendail nombor itu tapi masih belum terangkat. “Kenapa tak angkat?” aku mula cemas.

“Memang lah tak berangkat. Pukul tiga pagi.”

“Astagfirullah,” aku duduk di birai katil. Mengeluh. Ya Allah, sesungguhnya Kau lah yang menetapkan nyawa tiap-tiap makhluk-Mu, maka panjangkanlah nyawa sahabatku itu.

Aku bingkas bangun. Tuala dicapai. Tujuanku ingin mengambil wudhuk seterusnya mengadu pada yang Satu. Bismillah.

****
Sejurus habis program persatuan aku bergegas mengemas barang-barang yang ingin ku bawa pulang. Aku khuatir. Malam semalam mimpi tersebut menjengah lagi. Fikiran ku agak tergganggu. Bungkusan hadiah ku masukkan ke dalam beg kertas yang cantik dengan cermat.

“Aik, nak pergi dah ke?” Qalesya memandangku. Dia baru pulang dari menghadiri kelas.
Melihatkan aku terus berkemas tanpa menjawab, dia menyambung kembali, “Kalau ye pun tunggu la Sya. Kan kita balik sama-sama,” Qalesya pantas mengemas barang-barangnya.

Aku telah pun bersedia untuk pulang. Tapi, memandangkan Qalesya masih lagi belum habis mengemas di bilik terpaksa aku menunggunya. Ya Allah, kenapa lama sangat Sya ni.  Apabila melihat sahabatku seorang itu masih lagi berjalan perlahan aku mula bersuara lantang, “Kenapa lama sangat? Kan Maya dah suruh malam tadi siap awal-awal. Sya ni tak dengarlah!”

Qalesya terpana dengan kelakuanku. Mungkin disebabkan aku tidak pernah meninggi suara terhadapnya menyebabkan dia tesentap. Matanya bergenang menahan air yang hampir tumpah.

Astagfirullah. Apa yang telah aku lakukan? “Sya, Maya minta maaf. Maya tak bermaksud nak tinggikan suara dengan Sya. Maafkan Maya ye,” aku serba salah. Tangannya ku capai dan ku genggam erat mohon keampunan.

Qalesya tersenyum nipis, “Jom lah. Nanti lambat sampai rumah.”

Tanganku dipimpin. Dalam perjalanan menuju ke perhentian bas aku bersuara, “Maafkan Maya ye. Harap Sya tak ambil hati tentang apa yang Maya lakukan tadi.”

“Tak apa. Sya tak ambil hati. Sya ambil jantung je.” Dia memandangku sambil tersenyum. Mungkin dia memahami fikiran ku agak terganggu sejak akhir-akhir ini. Aku tersenyum lega.

Sementara menunggu pengangkutan tiba aku melemparkan pandangan ke seberang jalan. Gerai menjual buah-buahan.

“Sya, Maya nak pergi beli makanan kat seberang jalan kejap ye,” aku pantas bangun. Telefon bimbit berserta dompet ku bawa.


“Kejap. Sya pun nak ikut.”


Tanpa menunggu Qalesya aku pantas melintas jalan. Tiba-tiba telefon ku berbunyi menandakan mesej baru masuk. Aku membuka dan membaca isinya.


-Alhamdulillah. Kami selamat sampai petang semalam. Maaf sebab semalam tak jawab Maya  telefon. Ika masih lagi terlena.


Sender:
Zulaikha


Alhamdulillah. Hatiku mengucap hamdallah.

“Maya!”

Aku berpaling. Tanpa aku sedari aku kini berada di tengah jalan. Sebuah kereta meluncur laju ke arahku. Jarak kereta denganku tidak lebih dari sedepa.

Aku terjeda. Aku sempat melihat Qalesya yang menjerit memanggilku. Aku pelik.

Seketika...


Ya. Aku mula teringat akan mimipiku. Tangisan ummi dan mama, wajah sungul walid dan papa. Wajah pucat Zulaikha dengan mata terpejam yang akhirnya terbuka dalam keadaan menahan air mata.

Begitu rupanya.

Aku tersenyum. Bukan Zulaikha tetapi aku.

Ya Allah, sesungguhnya ilmu kematian tidak pernah terjangkau di fikiran manusia.

BAM!

Aku tersungkur. Alam menjadi tidak menentu pada padangan mataku. Hanya jeritan Qalesya yang ku dengari.

Ya Allah, aku naik saksi bahawa tiada Tuhan selain-Mu dan Muhammad itu adalah Rasul-Mu.
Zulaikha, maaf kerana tidak dapat bertemu denganmu. Insya-Allah di Jannah aku tunggu kedatangan mu sahabat. Aku pergi dahulu.

SrikandiAisyaHumaira
05:00
18/12/2011
23 Muharram 1433H

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...