Saturday, December 31, 2011

Cerpen : Aku Sedang Bercouple?


Alhamdulillah. Aku menutup kitab suci al-Quran. Mengucup dengan perasaan syahdu. Maha Suci Engkau yang menyusun setiap bait perkataan. Semuanya indah penuh makna dan keberkatan. Moga aku terus istiqomah memegang amanah ini.

Sekarang di hadapan aku pantai gemersik bermelodi. Tenang saja iramanya. Aku membetulkan kedudukkan ku di atas batu yang besar. Moga apa yang aku sampaikan dalam forum perdana sebentar tadi masuk ke dalam hati-hati hamba-Mu yang mendengar. Dakwah itu merupakan kewajiban dan perlu dilaksanakan buat saham di akhirat yang bakal dipersembahkan. Segalanya kerana Mu ya Allah. Moga Engkau redha.

Aku berdiri. Niatku ingin merehatkan mata dan tubuh badan yang seharian bekerja menguruskan forum memandangkan sudah lewat malam.

“Umar.”

Aku berpaling, “Oh, Amran.”

Aku memandang wajahnya yang menunduk. Dahinya berkerut.

“Kau tak apa-apa kah?” aku memegang bahunya.

“Boleh aku tanya soalan sikit kat kau?”

“Boleh. Kau nak tanya pasal apa? Sejarah, biologi, kimia, ‘drawing’? Tanyalah,” aku berjenaka.

“Wah, hebat benar kau?”

“Eh, soalan kan. Nak tanya apa pun boleh. Tapi belum tentu aku dapat jawab,” aku tersengih.

“Kau ni.”

Tumbukan lembut menyapa bahuku. Kami ketawa.

Apabila keadaan kembali tenang, Amran bersuara, “Aku...”

Bunyinya seakan teragak-agak. Pasti ada kekusutan yang ingin diluahkan. Aku memahami situasi itu. Lantas aku mempelawanya duduk.

“Tarik nafas dalam-dalam. Cuba tanya perlahan-perlahan. Aku setia mendengar,” aku cuba memberinya ruang. Dia memandangku dan kembali menunduk.

“Sebenarnya aku rasa bersalah memandangkan aku dah mula bersama-sama kau menjalankan aktiviti dakwah dan tarbiyah dalam masa yang sama hati aku tidak tenang dengan sesuatu perkara yang aku masih lakukan,” Amran berhenti. Cuba mencari nafas baru.

“Teruskan akhi.”

“Aku ada mengenali seorang ustazah yang sama-sama turun padang dengan kita tempoh hari dalam satu seminar. Dulu kami cuma berkawan tapi setelah aku tahu dia suka aku, dalam diam aku sendiri jatuh...erm..suka..dia.

Sejak kami meluahkan isi hati masing-masing hubungan kami bukan sekadar kawan. Maksud aku seperti kawan tapi rapatla daripada kawan biasa.”

Aku mula memahami masalah sahabat aku seorang ini, “Kau ber’couple’?”

Dia memandangku menunduk dan memandang kembali, “Bolehkah?”

Aku tersenyum, “Sememangnya fitrah manusia mempunyai perasaan cinta. Lelaki akan tertarik kepada perempuan. Begitu juga sebaliknya. Cuma kau kena pandai mengawal perasaan itu. Jangan sampai berzina apatah lagi menghampirinya. Kau tahu itu, bukan?” aku memandangnya.

“Kau cakap macamlah tak kenal aku. Aku takkan buat itu semua,” nadanya sedikit beremosi.

Aku cuba menenangkan, “Aku percaya...”

“Aku sudah pun mengawal batas-batas pergaulan. Sms pun kadang-kadang. Kalau sms pun kami bertukar-tukar fikiran tentang fikrah islamiah. Jiwang pun tak ada lah sangat. Matlamat kami adalah ingin masuk syurga.”

Bunyinya seakan-akan mahu membenarkan apa yang tidak benar.

“Niat dan matlamat kau baik. Tapi kena ingat, niat mahupun matlamat tidak pernah menghalalkan cara. Haq dan batil tetap ada putih hitamnya. Firman Allah; ‘dan syaitan menjadikan mereka memandang baik perbuatan-perbuatan mereka, lalu ia menghalangi mereka dari jalan (Allah), sedangkan mereka adalah orang-orang yang berpandangan tajam. Surah Ankabut ayat 38.”

Aku menyambung, “Sebenarnya kaca mata yang kau pakai sekarang adalah kaca mata syaitan. Syaitan yang menjadikan kau memandang baik perkara yang sebenar-benarnya tidak baik. Kau kena ingat syaitan begitu licik dalam mempengaruhi anak Adam. Peneman mereka di neraka kelak.”

Amran hanya membisu. Mata memandang ke hadapan.

“Bohonglah kalau kau kata tak pernah melayan perasaan rindu dan syahdu apa jua istilahnya dengan si dia. Sekecil-kecil zina pun pasti kau akan terpengaruh dengan zina hati.”

“Tapi macam mana kalau aku betul-betul nak jadikan dia permaisuri hati aku?”

“Usahakan ke arah itu. Jangan dicampurkan dengan rasa cinta yang membuak-buak kerana ia bukan lagi kerana Allah. Tapi kerana nafsu dan kehendak sendiri. Ikut hati, mati. Ikut nafsu, lesu.

Bila dah nikah nanti, luahkanlah sejuta rasa cinta kepada si dia pun takpe dah. Dalam mencari jodoh, makin kita tak kenal si dia sebelum kahwin, makin baik. Nanti banyak benda boleh borak lepas kahwin tentang diri masing-masing. Ni kalau semua cerita pun dah tahu sebelum kahwin, bosan tak tahu nak cakap pasal apa dah nanti. Kan kan kan?” aku cuba menyusun ayat sebaik mungkin.

Dia hanya menunduk. Aku meyentuh bahunya, “Sabar itu salah satu sifat orang mu’min. Aku tahu mungkin kau sangat-sangat nak, cinta, sayang dekat si dia. Kalau boleh, sekrang juga nak luahkan perasaan tu, ‘awak, saya sayang awak’ atau ‘awak, saya rindu awak sangat-sangat.’

Rasulullah pun romantik jugak. Rasulullah pun jiwang jugak. Tapi itu semua adalah selepas nikah. Mari kita lihat beberapa ayat Rasulullah mengenai cintanya kepada Saidatina Khadijah:
“Sungguh aku telah mendapatkan anugerah berupa cintanya,” dan “sesungguhnya aku mencintai orang-orang yang mencintainya,” melupakan Khadijah juga tidak pernah. Sabda Nabi SAW: “Tidak. Demi Allah, dia tidak pernah memberi ganti untukku seorang isteri yang lebih baik daripadanya.” Sehingga akhir hayat Khadijah, Rasulullah masih lagi kasih akan isteri yang paling dicintainya. Lihat. Baginda lagi romantis bebanding kita.”

“Jadi bagaimana aku nak putuskan hubungan ‘couple’ni?”

“Mudah. Katakan saja ‘itu tidak boleh, melanggar perintah Allah. Maaf.’ Itu caranya.”

“Habis macam mana kalau dia terluka? Kalau dia merajuk?”

“Kita sudah cakap secara elok. Maka sudah selesai tanggungjawab kita. Dia nak merajuk ke, apa ke selepas tu, itu masalah dia. Bukan masalah kita lagi.”

Dia mengeluh, “Susah kan kalau dah tejebak macam aku ni. Rasa berdosa sangat. Nak putuskan hubungan haram pun susah.”

“Memang susah kalau kita hanya memihak pada nafsu sahaja. Ingat, cinta selepas akad jauh lebih indah dan berkat. Cuba dan terus mencuba. Bak kata Aidil dalam lagunya.”

Aku berpesan sebelum terlupa, “Dan janganlah hati kita lembik sangat, cair dengan rajukan dia. Kuatkan hati. Sayangkan dan cintakan Allah lebih.”

Amran menarik nafas panjang. Ungkapan basmalah meniti di bibirnya. Dia mengeluarkan telefon bimbit menaip satu pesanan ringkas. Dari pemerhatian aku kira ditujukan kepada si dia. Butang ‘send’ ditekan.

“Aku kagum dengan kekuatan kau melawan godaan semua ni,” aku memandangnya.

“Terima kasih kerana sedarkan aku. Kaulah sahabat yang akan aku jumpa di syurga.”

“Best kan bila awal-awal lagi dah ‘confirm’ tahu Rasulullah SAW sedang menanti kita yang selalu berselawat dan ikut kata Nabi SAW di telaga Kauthar akhirat kelak. Siap-sedia untuk beri kita syafaat,” aku memandang ke hadapan. Menikmati udara malam di persisiran pantai.

“Uhibbuka fillah,” Amran meletakkan tangannya di bahuku.

“Uhibbuka fillah kaman,” aku membalas. Moga Allah redha.



SrikandiAisyaHumaira
03:30
01/01/2012
07 Safar 1433H

Cuba


Ada angin yang melintang
Ada halang yang terbentang
Setiap sudut itu dirasakan susah
Setiap satu itu dirasakan payah

Ada taufan yang menderu
Ada petir yang meluru
Setiap peluang dirasakan tipis
Setiap hela nafas dirasakan nipis

Pasti ada puncanya
Ada hikmahnya

Cuba kau berdoa
Cuba dan cuba kau meminta
Cuba ‘tuk berserah
Cuba dan cuba ‘tuk percaya

Ada awan kegelapan
Ada langit berlapisan
Setiap ramalan terasa bagai mendung
Setiap musim terasa bagai tengkujuh

Pasti ada puncanya
Ada hikmahnya

Cuba kau berdoa
Cuba dan cuba kau meminta
Cuba ‘tuk berserah
Cuba dan cuba ‘tuk percaya

Pada baris
Butir doa
Kau memohon
Kau berserah

Hanya
Pada
Dia Dia

Cuba
Cuba
Cuba
Cuba

Cuba kau berdoa
Cuba dan cuba kau meminta
Cuba ‘tuk berserah
Cuba dan cuba ‘tuk percaya

Cuba kau berdoa
Cuba dan cuba kau meminta
Cuba ‘tuk berserah
Cuba dan cuba ‘tuk percaya




SrikandiAisyaHumaira

Monday, December 26, 2011

Wanita Solehah Idaman Hati


Dirimu bak kasturi mekar mewangi
Harumannya bergetaran di persada bakti
Menjadikannya istimewa buat suami
Yang sentiasa membela pengorbanan isteri.

Tunduk dan taat akan perintah Ilahi
Patuh dan ikut akan suruhan Nabi
Jilbab itu menjadi perhiasan tetap buat diri
Agar mencapai gelaran muslimah sejati

Hanya dipandang Tuhan pencipta diri


Teladanilah peribadi Ummul Mukminin
Mereka memiliki khazanah watak menakjubkan
Pakailah mereka tudung bukan pada ikutan
Yang menutupi aurat keluhuran

Sedarilah wahai para srikandi
Dirimu telah dibela sehingga akhir hayat Nabi
Sulamilah dengan iman yang kukuh di hati
Pesonakanlah dirimu bi taqwa ilallah di sanubari

Agar dirimu dihormati para bidadari
Penghuni syurga menjadi realiti


Dunia ini umpama lautan perhiasan yang indah
Sepesona perhiasan adalah permata wanita solehah
Yang telah terpateri imanmu dengan mahabbah
Kaulah sesungguhnya insan bernama wanita solehah..


Mawar berduri dengan haruman kasturi semerbak syurgawi di taman Firdausi..” – Humaira 

SrikandiAisyaHumaira
17:35
26/12/2011
1 Safar 1433H

Sunday, December 25, 2011

Mahabbah Mujahadah


Aduhai diriku yang lemah
Adakah engkau sedang bermujahadah?
Sesungguhnya engkau kedekut dengan zikrullah
Pujukkan nafsu nyata memusnah
Harapanmu untuk tetap istikomah


Engkau juga seorang hamba
Adakalanya tewas dalam mujahadah
Malah malas untuk terus bermujahadah
Alpa dari mujahadah
Natijahnya engkau terus kalah


Bangkitlah 
Untuk terus bermujahadah
Melawan bisikan durjana syaitan
Siang malam tidak pernah lelah
Menawan hatimu sehingga punah


Sedarlah
Jangan sampai maksiat engkau berani terjah
Larangan Allah engkau buat tak endah


Selamilah kehidupan ini pelbagai rencah
Godaan nafsu, iblis dan syaitan wujud di semua arah
Insya-Allah
Jika engkau terus bermujahadah
Semuanya dapat engkau tepis dengan mudah
Bersama zikrullah yang tidak ada noktah
Agar bahagia hidupmu di Jannah



“Syurga itu terlalu indah untuk dicapai dengan mudah..” - Humaira


SrikandiAisyaHumaira
20:45
25/12/2011
30 Muharram 1433H


Saturday, December 24, 2011

Motivational Diary


Being grateful for the little blessings that come your way

Be grateful for that unexpected parking spot.
Smile back at the kind stranger who has helped you.
Give thanks to the friendly waitress who 
gave you excellent service.



Being thankful for everything that is already you

You have gone through a wealth at experiences and come a long way 
to be who you are today.
Give thanks to all the positive experiences which have shaped you into 
who you are today.
learn from the life’s lessons and stressful times that have made you stronger.



Love is the Voice Under All Silences” – Humaira

SrikandiAisyaHumaira
02:10
25/12/2011
30 Muharram 1433H

Saturday, December 17, 2011

Memiliki Jannah Bersama



Ku menyusuri sungai yang mengalir
Sambil membilang bilakah kau akan hadir
Jiwa resah dirimu ku fikir
Adakah penantian ini ada akhir
Aku mohon berikan jawapan pasti


Ku sedari diri ini membuat hatimu kecewa
Ku sedari padamu ku berdosa
Ku sedari perasaanmu sering tak terjaga
Ku menyedari bahawa aku bukanlah sahabat sempurna


“Maafkan aku” tidak henti aku bicarakan
Agar buih-buih keraguan dapat dicerna
Menghumban setiap harapan dan doa
Jauh di dasar lautan perasaan
Aku terus mengharap
Kejujuranmu terlafaz


Sahabat..
Aku menyelak kembali lembaran pertemuan itu
Yang membuatkan ku rindu detik itu
Adakah kau masih ingat..?


Aku pasti..
Akan ada sinar harapan
Akan ada jawapan kepastian
Cuma saatnya belum tiba
Kerna pilihan itu terletak di tanganmu
Walaupun semua ini mengundang airmataku


Ingatlah akan satu perkara
Aku mencintaimu kerana Yang Satu
Aku menyayangimu kerana engkau sahabatku
Selama nafas ini terukir namamu


Sedarilah..
Kita bersahabat kerana Allah
Doaku agar kita menjadi sahabat yang bertaqwa
Agar di akhirat tidak ada permusuhan antara kita 
Di bawah naungan-Nya kita bertemu, insya-Allah
Uhibbuki fillah..


SrikandiAisyaHumaira
13:28
18/12/2011
23 Muharram 1433H




Best Friend Till Jannah


Hibanya hati melepaskan dikau pergi
Bukan ku tak redha akan ketentuan Ilahi
Tapi itulah hati
Ada rasa cinta dan kasih kukuh tertanam
Buat dirimu sahabat

Pada akrab sekian lama terpisah
Hati bertaut walau lama tidak bertemu
Hakikatnya aku juga hamba-Nya
Pasrah dan redha itu perlu pada takdir-Nya
Makam itu cuma semadi jasad
Ya, jasad itu meninggalkan kenangan manis buatku

Ya Allah
Tempatkan dirinya di suatu tempat yang mulia
Nikmat yang Engkau janjikan buat hambamu
Iringilah rohnya bersama rahmat
Ke
temukan kami di alam syurga

Best Friend Till Jannah
Zulaikha & Sumayyah


-Zulaikha

SrikandiAisyaHumaira


Cerpen : Jangan Kau Pergi


Petang yang indah. Matahari seolah-olah memancarkan cintanya melalui sinar cahaya perangnya, menembusi setiap sudut dunia. Ciptaan Ilahi disinari.

Burung-burung menzahirkan kalimah-kalimah cinta, bertasbih memuji kebesaran Yang Maha Agung. Pokok-pokok kelihatan seperti tiang-tiang cinta, menghubungkan langit dan bumi.

Diari kecilku ditutup. Merenung kembali ke luar tingkap. Damai. Itu yang ku rasakan. Tapi.. ada sesuatu yang mengganggu fikiran ku sejak akhir-akhir ini. Ahh. Perasaan ku saja. Mungkin..

“Sumayyah, cerialah sedikit. Takkan semudah itu kau berfikiran bukan-bukan,” aku memujuk sendirian.

Aku mencapai telefon bimbit dan mendail nombor seseorang. Mungkin dengan cara ini hatiku bisa tenang.

“Assalammualaikum,” suara yang ku rindui menyapa gegendang telingaku.  Aku tersenyum.

“Wa’alaikumussalam. Ika sihat? Ummi dan walid macam mana?” tanyaku inginkan kepastian.

“Semuanya  sihat. Alhamdulillah. Maya?” tanyanya kembali.

“Alahamdulillah. Baru beransur pulih dari demam. Macam mana perancangan nak datang ke rumah Maya?”

“Insya-Allah, hujung minggu ni. Mama tak bagitahu ke?”

“Yeke? Ya Allah. Tak sabar rasanya. Maya belum ‘call’ mama lagi minggu ni, insya-Allah malam nanti Maya ‘call’.”

“Maya balik rumah, bukan?”

“Insya-Allah, Maya balik. Lagipun kita dah janji nak berjumpa.”

“Hmm. Ok lah. Ika ada kerja sikit nak kena buat. Nanti insya-Allah kita berbual panjang di rumah Maya. Kirim salam kat mama dan papa sekali ye. Assalamualaikum.”

“Insya-Allah. Sampaikan salam Maya juga kat ummi dan walid. Wa’alaikumussalam.”

Zulaikha teman kecil ku sewaktu keluarga ku menetap di salah satu negeri sebelah pantai timur Malaysia. Keluarga kami memang rapat memandangkan kami berjiran selama tujuh tahun. Namun, papaku telah dinaikkan pangkat yang menyebabkan papa membawa kami sekeluarga berhijrah ke  ibu kota Malaysia. Sebuah kota yang terkenal dengan kesibukkannya. Sejak dari itu aku tidak berkesempatan untuk menemui sahabatku. Sekarang kami sama-sama meningkat dewasa. Menuntut di universiti yang berbeza.

Alhamdulillah. Keluarganya akan datang ke Kuala Lumpur untuk menghantar salah seorang ahli keluarganya yang akan meneruskan pelajaran di salah sebuah universiti di sini. Insya-Allah, mereka akan singgah bermalam di rumahku untuk beberapa hari. Namun, itu hanya dalam perancangan. Ya, manusia hanya mampu merancang. Allah juga merancang. ‘Wallahu Khairul Maakirin..’ Allah lah sebaik-baik perancang segala rencana.

****

Sedih. Aku tidak mengerti. Suasana yang sungul dan kelam itu mengundang rasa sedih dalam hatiku. Di satu sudut terlihat ummi dan mama menangis teresak-esak. Papa dan walid tertunduk. Wajah mereka kelihatan sungul sekali. Di keliling mereka, ku lihat teman-temanku yang menuntut di universiti ada di situ. Beberapa remaja yang ku kira sebaya dengan ku juga turut hadir. Tapi tidak ku kenali mereka. Perlakuan mereka semua mempamerkan gaya tersendiri tapi menjurus pada satu tema. Sedih.

Aku berasa takut. Seolah-olah suasana itu akan merentap jiwaku.

“Semoga roh arwah dicucuri rahmat-Nya.”

Roh? Arwah? Apakah semua ini? Tiba-tiba pandangan ku terkunci pada seseorang. Kenapa dia kelihatan kaku? Wajahnya pucat lesu. Matanya terpenjam rapat.

Tak mungkin..!

“Astagfirullah.”

Aku mengurut dada. Menenangkan jiwa. Itu hanya mimpi. Tegas ku mengingatkan. Aku melihat jam yang tegantung di dinding. Pukul 11 malam. Akibat menguruskan kerja-kerja persatuan seharian aku terlelap awal sedikit hari ini.

Tiba-tiba ku rasakan ada cecair yang mengalir melintasi bibirku. Pantas aku mencapai tisu di meja studi sebelah katil bujang.

“Hidung berdarah lagi?” Qalesya teman sebilikku manyapa.

“Yup,” aku menjawab seadanya.

“Kerap pula akhir-akhir ini. Tak pergi jumpa doktor ke?” dia mengaju soalan. Bimbang, mungkin.

“Rasanya tak ada apa-apa. Cuaca akhir-akhir ni kan tak menentu, mungkin itu sebabnya,” aku cuba menenangkan sahabatku itu. Aku kira jawapan ku itu benar belaka.

Qalesya tersenyum nipis. Mengiyakan mungkin.

Aku mengadap komputer riba di meja studi. Menyambung kembali kerja-kerja persatuan yang tergendala petang tadi. Seperti biasa, aku menjengah dahulu akaun ‘Skype’. Melihat senarai nama-nama kenalan di sebelah kiri, hanya satu yang menarik perhatianku. Zula.Ikha. ‘Online’. Aku terus menghubunginya melalui ‘video call’. Alhamdulillah, bersambut.

Skrin laptop memaparkan wajahnya. Aku meneliti. Wajah itu tidak sama seperti wajah yang ku lihat dalam mimpi yang kerap muncul dalam lenaku. Wajahnya kini hidup, ceria dan penuh cahaya. Wajah yang aku rindu untuk bertentang mata. Namun, mengapakah hatiku gelisah. Malah bertambah resah. Padahal ku tahu dia masih bernafas.

“Kenapa Maya? Ada yang tak kena ke kat muka Ika?”

Aku tersedar, “Eh. Tak ada-apa. Maaf,” aku tersenyum malu sendiri merenung dia sebegitu.

Kami berbual panjang. Tenggelam dalam melepaskan kerinduan. Buat seketika aku cuba melupakan keresahan.

bersambung...

SrikandiAisyaHumaira

Sambungan Cerpen : Jangan Kau Pergi II


Esok aku akan pulang ke rumah. Keluarga Ika mungkin sudah dalam perjalanan saat ini. Tidak sabar rasanya untuk bertemu dengan mereka. Ummi, walid dan Ika antara insan yang amat ku rindui. Sambil mendengar irama nasyid di corong radio, aku membalut kemas cenderahati yang bakal diserahkan buat sahabat yang dirindui.

“Kenapa muram je ni Sumayyah?” Zulaikha menyentuh lembut bahu ku.

Aku berpaling ke belakang. Senyuman sedaya upaya ku pamerkan. Namun aku pasti dia mengetahui senyuman itu dalam keterpaksaan.

“Masih sedih kerana hendak berpindah?” Zulaikha duduk disebelahku tanpa di pinta. Aku hanya mampu menunduk.

“La tahzan innallaha ma'ana. Insya-Allah, segalanya akan ada hikmahnya. Lagipun bukankah berhijrah itu antara sunah nabi?”

Aku mengangkat wajah. Senyuman ku kini hadir tanpa di pinta. Jelaslah aku mengiyakan kata-katanya. Kepala ku rebahkan di bahunya. Kami memandang alam ciptaan Ilahi. Indah dan damai.

“Maya, ada dengar tak berita mengenai kemalangan jalan raya di ‘highway’ Kuantan?”

Aku tersedar dan kembali ke realiti, “Kemalangan?”

“Ha’ah. Katanya teruk juga.”

Inna lillahi wa inna ilahi raji'un. Ketentuan Allah di luar fikiran akal manusia. Aku tidak bersuara. Menyambung kembali kerja-kerja menyempurnakan hadiah.

Sebentar! Kemalangan? Di lebuhraya Kuantan? Jangan-jangan. Ya Allah!

“Maya, mimpi yang sama masih berlaku ke? Sya tengok Maya selalu bangun tidur mengejut je.”

Aku terus bangun . Telefon bimbit pantas ku cari. Butang dial ditekan. Qalesya pelik dengan kelakuan tiba-tiba yang aku lakukan. Dahinya mengerut. Namun, hanya seketika. Dia kembali menyambung ‘study’nya.

Beberapa kali ku cuba mendail nombor itu tapi masih belum terangkat. “Kenapa tak angkat?” aku mula cemas.

“Memang lah tak berangkat. Pukul tiga pagi.”

“Astagfirullah,” aku duduk di birai katil. Mengeluh. Ya Allah, sesungguhnya Kau lah yang menetapkan nyawa tiap-tiap makhluk-Mu, maka panjangkanlah nyawa sahabatku itu.

Aku bingkas bangun. Tuala dicapai. Tujuanku ingin mengambil wudhuk seterusnya mengadu pada yang Satu. Bismillah.

****
Sejurus habis program persatuan aku bergegas mengemas barang-barang yang ingin ku bawa pulang. Aku khuatir. Malam semalam mimpi tersebut menjengah lagi. Fikiran ku agak tergganggu. Bungkusan hadiah ku masukkan ke dalam beg kertas yang cantik dengan cermat.

“Aik, nak pergi dah ke?” Qalesya memandangku. Dia baru pulang dari menghadiri kelas.
Melihatkan aku terus berkemas tanpa menjawab, dia menyambung kembali, “Kalau ye pun tunggu la Sya. Kan kita balik sama-sama,” Qalesya pantas mengemas barang-barangnya.

Aku telah pun bersedia untuk pulang. Tapi, memandangkan Qalesya masih lagi belum habis mengemas di bilik terpaksa aku menunggunya. Ya Allah, kenapa lama sangat Sya ni.  Apabila melihat sahabatku seorang itu masih lagi berjalan perlahan aku mula bersuara lantang, “Kenapa lama sangat? Kan Maya dah suruh malam tadi siap awal-awal. Sya ni tak dengarlah!”

Qalesya terpana dengan kelakuanku. Mungkin disebabkan aku tidak pernah meninggi suara terhadapnya menyebabkan dia tesentap. Matanya bergenang menahan air yang hampir tumpah.

Astagfirullah. Apa yang telah aku lakukan? “Sya, Maya minta maaf. Maya tak bermaksud nak tinggikan suara dengan Sya. Maafkan Maya ye,” aku serba salah. Tangannya ku capai dan ku genggam erat mohon keampunan.

Qalesya tersenyum nipis, “Jom lah. Nanti lambat sampai rumah.”

Tanganku dipimpin. Dalam perjalanan menuju ke perhentian bas aku bersuara, “Maafkan Maya ye. Harap Sya tak ambil hati tentang apa yang Maya lakukan tadi.”

“Tak apa. Sya tak ambil hati. Sya ambil jantung je.” Dia memandangku sambil tersenyum. Mungkin dia memahami fikiran ku agak terganggu sejak akhir-akhir ini. Aku tersenyum lega.

Sementara menunggu pengangkutan tiba aku melemparkan pandangan ke seberang jalan. Gerai menjual buah-buahan.

“Sya, Maya nak pergi beli makanan kat seberang jalan kejap ye,” aku pantas bangun. Telefon bimbit berserta dompet ku bawa.


“Kejap. Sya pun nak ikut.”


Tanpa menunggu Qalesya aku pantas melintas jalan. Tiba-tiba telefon ku berbunyi menandakan mesej baru masuk. Aku membuka dan membaca isinya.


-Alhamdulillah. Kami selamat sampai petang semalam. Maaf sebab semalam tak jawab Maya  telefon. Ika masih lagi terlena.


Sender:
Zulaikha


Alhamdulillah. Hatiku mengucap hamdallah.

“Maya!”

Aku berpaling. Tanpa aku sedari aku kini berada di tengah jalan. Sebuah kereta meluncur laju ke arahku. Jarak kereta denganku tidak lebih dari sedepa.

Aku terjeda. Aku sempat melihat Qalesya yang menjerit memanggilku. Aku pelik.

Seketika...


Ya. Aku mula teringat akan mimipiku. Tangisan ummi dan mama, wajah sungul walid dan papa. Wajah pucat Zulaikha dengan mata terpejam yang akhirnya terbuka dalam keadaan menahan air mata.

Begitu rupanya.

Aku tersenyum. Bukan Zulaikha tetapi aku.

Ya Allah, sesungguhnya ilmu kematian tidak pernah terjangkau di fikiran manusia.

BAM!

Aku tersungkur. Alam menjadi tidak menentu pada padangan mataku. Hanya jeritan Qalesya yang ku dengari.

Ya Allah, aku naik saksi bahawa tiada Tuhan selain-Mu dan Muhammad itu adalah Rasul-Mu.
Zulaikha, maaf kerana tidak dapat bertemu denganmu. Insya-Allah di Jannah aku tunggu kedatangan mu sahabat. Aku pergi dahulu.

SrikandiAisyaHumaira
05:00
18/12/2011
23 Muharram 1433H

Anda mungkin juga meminati :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...