Saturday, December 17, 2011

Cerpen : Jangan Kau Pergi


Petang yang indah. Matahari seolah-olah memancarkan cintanya melalui sinar cahaya perangnya, menembusi setiap sudut dunia. Ciptaan Ilahi disinari.

Burung-burung menzahirkan kalimah-kalimah cinta, bertasbih memuji kebesaran Yang Maha Agung. Pokok-pokok kelihatan seperti tiang-tiang cinta, menghubungkan langit dan bumi.

Diari kecilku ditutup. Merenung kembali ke luar tingkap. Damai. Itu yang ku rasakan. Tapi.. ada sesuatu yang mengganggu fikiran ku sejak akhir-akhir ini. Ahh. Perasaan ku saja. Mungkin..

“Sumayyah, cerialah sedikit. Takkan semudah itu kau berfikiran bukan-bukan,” aku memujuk sendirian.

Aku mencapai telefon bimbit dan mendail nombor seseorang. Mungkin dengan cara ini hatiku bisa tenang.

“Assalammualaikum,” suara yang ku rindui menyapa gegendang telingaku.  Aku tersenyum.

“Wa’alaikumussalam. Ika sihat? Ummi dan walid macam mana?” tanyaku inginkan kepastian.

“Semuanya  sihat. Alhamdulillah. Maya?” tanyanya kembali.

“Alahamdulillah. Baru beransur pulih dari demam. Macam mana perancangan nak datang ke rumah Maya?”

“Insya-Allah, hujung minggu ni. Mama tak bagitahu ke?”

“Yeke? Ya Allah. Tak sabar rasanya. Maya belum ‘call’ mama lagi minggu ni, insya-Allah malam nanti Maya ‘call’.”

“Maya balik rumah, bukan?”

“Insya-Allah, Maya balik. Lagipun kita dah janji nak berjumpa.”

“Hmm. Ok lah. Ika ada kerja sikit nak kena buat. Nanti insya-Allah kita berbual panjang di rumah Maya. Kirim salam kat mama dan papa sekali ye. Assalamualaikum.”

“Insya-Allah. Sampaikan salam Maya juga kat ummi dan walid. Wa’alaikumussalam.”

Zulaikha teman kecil ku sewaktu keluarga ku menetap di salah satu negeri sebelah pantai timur Malaysia. Keluarga kami memang rapat memandangkan kami berjiran selama tujuh tahun. Namun, papaku telah dinaikkan pangkat yang menyebabkan papa membawa kami sekeluarga berhijrah ke  ibu kota Malaysia. Sebuah kota yang terkenal dengan kesibukkannya. Sejak dari itu aku tidak berkesempatan untuk menemui sahabatku. Sekarang kami sama-sama meningkat dewasa. Menuntut di universiti yang berbeza.

Alhamdulillah. Keluarganya akan datang ke Kuala Lumpur untuk menghantar salah seorang ahli keluarganya yang akan meneruskan pelajaran di salah sebuah universiti di sini. Insya-Allah, mereka akan singgah bermalam di rumahku untuk beberapa hari. Namun, itu hanya dalam perancangan. Ya, manusia hanya mampu merancang. Allah juga merancang. ‘Wallahu Khairul Maakirin..’ Allah lah sebaik-baik perancang segala rencana.

****

Sedih. Aku tidak mengerti. Suasana yang sungul dan kelam itu mengundang rasa sedih dalam hatiku. Di satu sudut terlihat ummi dan mama menangis teresak-esak. Papa dan walid tertunduk. Wajah mereka kelihatan sungul sekali. Di keliling mereka, ku lihat teman-temanku yang menuntut di universiti ada di situ. Beberapa remaja yang ku kira sebaya dengan ku juga turut hadir. Tapi tidak ku kenali mereka. Perlakuan mereka semua mempamerkan gaya tersendiri tapi menjurus pada satu tema. Sedih.

Aku berasa takut. Seolah-olah suasana itu akan merentap jiwaku.

“Semoga roh arwah dicucuri rahmat-Nya.”

Roh? Arwah? Apakah semua ini? Tiba-tiba pandangan ku terkunci pada seseorang. Kenapa dia kelihatan kaku? Wajahnya pucat lesu. Matanya terpenjam rapat.

Tak mungkin..!

“Astagfirullah.”

Aku mengurut dada. Menenangkan jiwa. Itu hanya mimpi. Tegas ku mengingatkan. Aku melihat jam yang tegantung di dinding. Pukul 11 malam. Akibat menguruskan kerja-kerja persatuan seharian aku terlelap awal sedikit hari ini.

Tiba-tiba ku rasakan ada cecair yang mengalir melintasi bibirku. Pantas aku mencapai tisu di meja studi sebelah katil bujang.

“Hidung berdarah lagi?” Qalesya teman sebilikku manyapa.

“Yup,” aku menjawab seadanya.

“Kerap pula akhir-akhir ini. Tak pergi jumpa doktor ke?” dia mengaju soalan. Bimbang, mungkin.

“Rasanya tak ada apa-apa. Cuaca akhir-akhir ni kan tak menentu, mungkin itu sebabnya,” aku cuba menenangkan sahabatku itu. Aku kira jawapan ku itu benar belaka.

Qalesya tersenyum nipis. Mengiyakan mungkin.

Aku mengadap komputer riba di meja studi. Menyambung kembali kerja-kerja persatuan yang tergendala petang tadi. Seperti biasa, aku menjengah dahulu akaun ‘Skype’. Melihat senarai nama-nama kenalan di sebelah kiri, hanya satu yang menarik perhatianku. Zula.Ikha. ‘Online’. Aku terus menghubunginya melalui ‘video call’. Alhamdulillah, bersambut.

Skrin laptop memaparkan wajahnya. Aku meneliti. Wajah itu tidak sama seperti wajah yang ku lihat dalam mimpi yang kerap muncul dalam lenaku. Wajahnya kini hidup, ceria dan penuh cahaya. Wajah yang aku rindu untuk bertentang mata. Namun, mengapakah hatiku gelisah. Malah bertambah resah. Padahal ku tahu dia masih bernafas.

“Kenapa Maya? Ada yang tak kena ke kat muka Ika?”

Aku tersedar, “Eh. Tak ada-apa. Maaf,” aku tersenyum malu sendiri merenung dia sebegitu.

Kami berbual panjang. Tenggelam dalam melepaskan kerinduan. Buat seketika aku cuba melupakan keresahan.

bersambung...

SrikandiAisyaHumaira

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...