Thursday, April 5, 2012

Lafaz Sakinah Tanpa Suara


Ya Allah
Jadikan aku setabah Sayidatina Khadijah
Sehingga dirinya digelar afifah solehah
Dialah wanita pertama tiada ragu mengucap syahadah
Tetap setia di sisi Rasulullah
Diwaktu senang dan susah
Walau hilang harta kerana berdakwah
Imannya sedikit pun tidak goyah

Mampukah aku menjadi setabah Khadijah..?
Diuji sedikit aku sudah rebah
Dihina dan dicerca sudah mengalah
Ya Allah
Izinkan aku punya iman persis Khadijah


Ya Allah
Jadikan aku semulia Fatimah Az-Zahra
Betapa tinggi kasih dan cinta kepada ayahdannya
Tiada rasa putus asa dalam perjuangan baginda
Tangannya lah yang membersihkan luka
Tangannya jua membersihkan cela
Pada jasad Rasul tercinta

Layakkah diriku menjadi semulia Fatimah..?
Saat diri terluka dendam pula menyapa
Saat diri disakiti maki pula mengganti
Ya Rabbi
Muliakan diriku sehingga dicemburui bidadari syurga


Ya Allah
Jadikan aku sehebat Masyitah dan Sumayyah
Tukang sisir beriman
dan keluarga Yasir bertaqwa
Sungguh kesabaran mereka mengoncang dunia
Iman mantap terpelihara walau nyawa menjadi taruhan

Mampukah sabarku seperti mereka..?
Tatkala digoda nafsu dunia
Entah mana hilangnya iman di dada
Ya Rahman
Kuatkan imanku seperti Masyitah
Sabarkan aku seperti Sumayyah

Dan..


Ya Allah
Jadikan aku sehebat Aisya Humaira
Rasulullah suaminya yang pertama
Biar dilontarkan fitnah manusia
Tetap teguh pada ketetapan-Nya
Isteri sejati yang memangku Nabi
Saat hujung nyawa baginda
Hadis dan sunnah Rasul dipertahankan
Betapa hatimu seorang mujahidah

Mampukah aku mencontohi dirinya..?
Tatkala fitnah sudah menjadi hiburan dunia
Tanpa rasa goyah dan berputus asa
Ya Qahhar
Kuatkan imanku dikala alpa
Tetap teguh pada jalan agama
Agar aku mampu menjadi sehebat Aisya Humaira..


“Tidak ku damba pemuda sesempurna Nabi Muhammad, Kernaku tahu diri tak sehebat  Aisha Humaira.. Aku hanyalah seorang sakinah, merintis  jawapan dalam kegelapan, tidak mahu sesat dalam kejahilan..” - Humaira

SrikandiAisyaHumaira
01:28
05/04/2012
13 Jamadil Awal 1433H

Friday, March 23, 2012

Titisan Mutiara Syria



Hilangku dalam terang
Sesatku dalam lapang
Jiwaku yang kian kekosongan
Sepi tanpa sebarang santapan iman ..

Terkunci kemas sebuah bicara
Lantas mencari setitis bekalan ilmu
Biar pun sedikit pencerahan walau hanya sebentar cuma
Hatiku terdetik seiring bayu menyapa, apa yang sedang berlaku?

Lantaran aku cuba menyelami..

Tika diri disesakkan dengan jiwa-jiwa yang mahu merdeka direalisasi
Seakan tidak percaya bahawa aku didalam lautan jiwa itu
Menyuarakan segala yang terbuku hati
Sambil air mata tetap bersamamu

Walaupun hanya secebis usahaku
Walaupun sering kali jatuh tersungkur
Aku yakin ada ganjaran dari Allah menanti
Walau hanya titisan tangisan simpati

Jika di sana dihujani peluru
Di sini kontang dengan perjuangan
Di sana dibanjiri darah
Di sini hanya  air ataku kirimkan bersama perjuanganmu

Kini aku baru sedar dari lena
Rupanya selama ini aku dibuai mimpi yang tidak nyata
Oleh mereka yang cuba menutupi realiti
Demi kepentingan diri sendiri
Sedang satu kepercayaan telah dikhianati..

Lenaku membuatkan aku lupa tentang mereka di sana
Hingga sedarku memuntahkan segala sangsi
Jika usahaku hanya sekelumit cuma
Inilah jalan tarbiah bagi diriku yang selalu lupa..


Tika mereka disana sesak mencari peluang untuk hidup
Aku di sini sesak mencari ruang untuk membantu
Selagi mana ada kudrat yang walau tidak nyata
Walau sering kali menitis air mata
Aku akan tetap bersamamu

Biar air mataku terus mengalir kerananya
Walau ia tak mampu mengubah dunia
Tapi ia mampu mengubah diriku
Aku akan terus menangis kerananya
Daripada aku gegak gempita dengan kemewahan dunia..

Dan aku pasti  akan terus menangis
Jika aku tidak mampu menhunus pedang
Aku akan bantu dengan senjata doa
Moga Allah membantu perjalanan ini
Sesungguhnya Dia Maha Mengasihani..


“Sekiranya hati itu turut merasa, pasti dia akan turut mengalirkan air mata. 
Sekiranya hati itu turut merasa, pasti dia tidak akan tinggalkan temannya bersedih sendirian..”- Humaira


SrikandiAisyaHumaira
10:10
24/03/2012
01 Jamadil Awal 1433H






Friday, March 9, 2012

Rindu terlalu padamu..


Segera kutepis rasa sepi dihati,
Meski perihnya masih jua menghantui
Namun kan tetap kucuba tuk tegar berdiri,
Karena kini telah pun kutemukan sang pelipur hati..

Sahabat..
Hadirmu telah cukup memberi erti
Semarak hari kulalui kini, meski dihujung jalan kegelapan menanti
Tapi setidaknya ‘satu yang pasti’
Cahaya menyala kembali dihatiku yang kian redup
Setitik cahaya senyumanmu telah menerangi jalanku yang gelap dan sunyi..

Untukmu Sahabat..
Tiada kata yang pantas ku ucap, selain bicara
“terima kasih tidak terhingga”

Walau kini engkau jauh dari tatapanku,
Angin malam yang membelenggu dingin
Mencengkam dalam benakku rasa rindu yang mendalam
Kekosongan jiwa yang hampa,
Rinduku akan dirimu merasuk dalam dunia realitiku
Dengan secebis harapan tanpa batas menanti engkau yang tak kunjung tiba

Sejenak ku menadah tangan memohon doa untukmu
Agar engkau dan aku bisa bertemu dan bersatu
Apakah esok sang mentari sudi menghantarkan salam serta rinduku kepadamu
Ataukah sang malam dapat menghadirkan dirimu dalam mimpiku..
Akanku semat ditempat terindah rinduku padamu sampai kita bersua lagi..


“Rindu.. terlalu padamu.. tiada.. tertangguh. Rindu.. terlalu padamu.. tiada penghujung.”-Humaira


SrikandiAisyaHumaira
16:30
09/03/2012
16 Rabiulakhir 1433H

Friday, February 3, 2012

Puisi Rinduku Terhadap Dirinya



Ya nabi salam alaika..
Ya Rasul salam alaika..
Ya habib salam alaika..
Solawatullahi alaika..



Duhai pahlawan ummah
Sempurnanya engkau, seorang contoh tauladan
Bagi perjalanan kafilah-kafilah pencari kebenaran
Senaskah kitab suci terakhir paling sempurna daripada Ilah
Pemuda agung 14 abad lamanya tidak pernah ditelan zaman.



Tatkala engkau bersuara
Bertaburanlah cahaya menerangi segenap jiwa
Kata-kata mu dijamin syurga
Diri ini cuba memahami hidup seorang Mustafa
Putih bersih giginya di saat mengukir senyuman ceria
Sehingga dahulunya para sufi pernah berkata
‘Merekah mawar mewangi, berasal dari titisan keringatnya yang jatuh ke bumi saat dia bersama buraq mendaki langit..’



Tidak ku nafikan betapa berat amanah di bahunya
Dengan jiwa yang suci dia menjadi nabi berpakaian rakyat jelata
Tidak dihiraukan tawaran kesenangan menjadi seorang raja yang kaya
Tetap tenang dalam kehidupan yang sederhana.



22 tahun dia menyebarkan ummatnya dengan cahaya
Namun ada saja yang mendustakannya
Mereka tetap tunduk pada yang keji dan hina.



Kelak pabila pengetahuan sudah sempurna
Menyingkap kesombongan peradaban maya
Kan terbeliak biji mata mereka
Kesempurnaan dia
Disalah fahami oleh orang yang buta hatinya.



Sehingga kini
Kekejian masih difitnah kepada baginda
Baginda Rasulullah S.A.W. satu-satunya manusia
Yang namanya bersanding dengan Tuhan Yang Esa..




“Ya Rasulullah, Ya Habibullah
Tiada amal ibadah yang sempurna dan bererti
kalau tiada syafaat daripada mu
Akan sengsara diri ku di akhir nanti..” - Humaira




SrikandiAisyaHumaira
16:55
03/02/2012
11 Rabiulawal 1433H

Anda mungkin juga meminati :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...